Index»
dppm
»
keputusan
»
kutuk
»
mahkamah
»
mesir
»
DPPM Kutuk Keputusan Mahkamah Mesir

DPPM Kutuk Keputusan Mahkamah Mesir
Senin, 10 Maret 2014

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk keputusan mahkamah Mesir yang mengharamkan semua aktiviti melibatkan pertubuhan politik Ikhwan Muslimin di negara tersebut.
Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskand Al-Hiss berkata, keputusan mengharamkan aktiviti merangkumi semua badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berkaitan Ikhwan Muslimin telah mematikan demokrasi di negara tersebut.
“Dalam keadaan kerajaan kudeta melakukan jenayah paling kejam di abad ini iaitu merampas kuasa dari kerajaan yang sah di bawah pimpinan Dr Mohammed Morsi, mahkamah Mesir turut mengikut telunjuk pemimpin kudeta yang kejam Abdul Fattah Al-Sisi dengan menghukum Ikhwan Muslimin.
“Apakah tindakan ini untuk melunaskan dendam berpanjangan Abdul Fattah As-Sisi terhadap Ikwan Muslimin serta seluruh rakyat Mesir yang bersimpati dengannya,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Raja Ahmad berkata, DPPM berasa kesal kerana rejim Fattah tidak pernah menyesali tindakan mereka membunuh lebih 3,000 rakyat Mesir yang tidak bersenjata beberapa bulan lalu.
Malah, katanya, ramai pemimpin Ikhwan Muslimin ditangkap dan dipenjarakan termasuk ada yang dibunuh manakala Morsi pula masih ditahan dan tidak dibebas sehingga hari ini.
Kata beliau, tindakan itu dengan jelas menunjukkan kerajaan kudeta Mesir mengikut telunjuk barat disamping akur dengan kehendak Israel sama seperti pemerintahan diktator Hosni Mubarak selama 30 tahun di negara itu.
“Apakah dosa paling besar Ikhwan Muslimin terhadap rakyat Mesir sehingga mahu diharamkan. Keganasan apakah yang dilakukan sehingga semua aktiviti Ikhwan diharamkan. Apakah dengan mengetengahkan dasar persaudaraan serta perpaduan Islam maka Ikhwan perlu dihukum sedemikian rupa,” soal beliau.
Sehubungan itu, DPPM meminta kerajaan Malaysia serta negara Islam OIC mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan kudeta Mesir.
“DPPM juga mendesak agar kerajaan Mesir mengkaji balik keputusan tersebut denga mengambil kira maslahat dan pandangan rakyat Mesir. Hakikatnya rakyat Mesir lebih memerlukan Ikhwan Muslimin di negaranya,” katanya lagi.
Related Posts : dppm,
keputusan,
kutuk,
mahkamah,
mesir
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar